PENGASAS syarikat Cafe Coffee Day Enterprises, VG Siddhartha ditemui mati berhampiran sungai Netravathi, Karnataka yang terletak di selatan India pada Rabu lalu.

Menurut laporan agensi portal berita antarabangsa, jutawan terkemuka itu tidak dapat dihubungi oleh keluarganya sejak petang Isnin lagi.

Pada malam hari yang sama, mendiang Siddhartha, 57, telah dilihat berjalan merentasi sebuah jambatan di Karnataka.

Sebaik berita penemuan mayat Siddhartha dilaporkan, harga saham syarikat beliau jatuh sebanyak 20 peratus.

Beberapa hari yang lalu, sepucuk surat telah dihantar ke lembaga pengarah syarikatnya dalam mana jutawan berumur 57 tahun itu mengakui kesilapan-kesilapannya dalam mengendalikan syarikat tersebut.

Surat yang masih belum disahkan ketepatannya itu juga mendedahkan bahawa mendiang menghadapi tekanan yang besar daripada pihak berkuasa yang bertanggungjawab menguruskan perihal cukai di India.

Syarikat beliau merupakan antara syarikat kopi terbesar di India dengan pemilikan sebanyak lebih 4,000 hektar ladang kopi selain jumlah eksport sebanyak 28,000 tan setiap tahun.

Francais kafe beliau, Cafe Coffee Day, merupakan francais kafe terbesar di India dengan jumlah cawangan melebihi 1,800 kafe di serata dunia termasuk Malaysia.