SEBELUM anda membaca lebih lanjut, anda harus jelas ini adalah satu eksperimen sosial yang dibuat selebriti YouTube, Coby Persin.

Persin menyamar sebagai gelandangan yang masuk ke sebuah restoran di Florida. Seperti dijangka ini layanan yang diterimanya.

“Tempat ini agak mahal untuk anda. Sila pergi ke M********,” kata pelayan restoran itu merujuk kepada sebuah restoran makanan segera.

Namun Persin tidak segera beralah. Sebaliknya dia meminta pelayan itu memberinya menu makanan.

“Saya ada duit, Boleh dapatkan saya meja untuk saya dan kawan saya Ronaldo, mungkin saya boleh tengok menu dahulu?” pinta Persin.

Namun pelayan itu tetap enggan memenuhi permintaan Persin meskipun berulang kali dia merayu.

Persin kemudian menghubungi rakannya Ronaldo dan pada ketika itu pelayan restoran itu memintanya memintanya untuk beredar dari situ.

Beberapa detik kemudian Ronaldo tiba dengan memandu Rolls Royce bersama beg bimbit penuh berisi wang.

Persin menunjukkan wang berkenaan kepada pelayan itu dengan sindiran sinis.

“Saya boleh beli tempat ini supaya saya boleh pecat awak tapi awak bernasib baik,” kata Persin meninggalkan pelayan itu dalam keadaan terpinga-pinga.