Kabinet baharu Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha hari ini mengangkat sumpah, lima tahun selepas pemerintahan tentera.

Prayuth dan 35 menteri melafazkan kesetiaan mereka di hadapan Raja Maha Vajiralongkorn di Istana Dusit di sini.

Raja Vajiralongkorn dalam sokongan moralnya menggesa ahli kabinet yang baru dilantik untuk melaksanakan tugas mereka demi negara dan rakyat.

Bekas ketua tentera yang merampas kuasa pada 2014 itu mengisytiharkan berakhirnya pemerintahan tentera, semalam.

Dalam ucapan terakhirnya sebagai ketua Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) semalam, beliau berkata Thailand kini adalah negara demokrasi sepenuhnya dan masalah akan diselesaikan melalui proses demokrasi tanpa menggunakan mana-mana kuasa khas.

Pada 10 Julai, Raja Maha Vajiralongkorn telah memperkenankan kabinet baharu Prayuth yang diumumkan dalam Warta Diraja, empat bulan selepas pilihan raya umum pada 24 Mac lepas.

Selepas upacara angkat sumpah itu, Prayuth mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Rumah Kerajaan di sini.

Beliau berkata tugas yang menanti kabinet baharu itu adalah untuk menyediakan dasar kerajaan dan bajet negara.

"Rakyat meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemerintah yang baru dipilih ini," katanya pada sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

BACA: PM Thailand isytihar junta tentera berakhir

Dalam barisan Kabinet baharu itu, Prayuth menamakan lima timbalan perdana menteri termasuk penyokong setianya daripada kerajaan tentera iaitu Prawit Wongsuwan, Somkid Jatusripitak dan Wissanu Krea-ngam. Dua lagi timbalan perdana menteri yang baharu adalah pemimpin parti Demokrat, Jurin Laksanawisit dan ketua parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul.

Sebahagian besar jawatan menteri yang penting dipegang oleh bekas anggota junta tetapi beberapa portfolio ekonomi termasuk perdagangan, pengangkutan dan pelancongan dipegang oleh gabungan Parti Palang Pracharat (PPRP) - Demokrat dan Bhumjaithai.

Demokrat dan Bhumjaithai menyertai PPRP yang menyokong Prayuth sebagai perdana menteri untuk membentuk kerajaan campuran.

-- BERNAMA