Pengusaha industri pelancongan Sri Lanka kini berusaha untuk memenangi semula perhatian para pelancong dunia selepas negara itu terkesan dengan insiden serangan pengebom menjelang Hari Easter lalu.

Pengendali pelancongan kawasan peranginan pantai misalnya, telah menurunkan kadar penginapan malah meningkatkan promosi ke negara sasaran seperti Rusia.

Industri pelancongan yang menyumbang sebanyak 5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar Sri Lanka amat terjejas selepas satu insiden serangan pada 21 April lalu, yang menyaksikan hotel-hotel dan gereja menjadi sasaran dan mengorbankan 250 orang termasuk 40 warga asing.

England, India dan Amerika Syarikat adalah antara negara yang telah mengeluarkan nasihat perjalanan bagi Sri Lanka – yang terkena tempias populariti pengembara kerana mendahului senarai destinasi saranan Lonely Planet bagi tahun 2019.

Peringatan tersebut antara lain menyumbang kepada banyak pembatalan perjalanan dalam kalangan pelancong, selain penurunan kadar tempahan penginapan.

Seorang pelancong asing beristirahat di sebuah pantai peranginan di Negombo, Sri Lanka. - Reuters

Bagi memancing kedatangan pelancong semula, Sri Lanka kini bersedia menjadi tuan rumah bagi acara sukan antarabangsa, selain mengenakan kadar harga penginapan yang minimum.

Penerbangan SriLankan Airlines juga menawarkan kadar tambang istimewa serta membuat promosi bersama dengan lembaga pelancongan kerajaan. Agensi pelancongan juga menawarkan khidmat menjemput di lapangan terbang secara percuma.

Lavanga Resort & Spa di pantai Hikkaduwa, misalnya, menawarkan bilik penginapan pada harga AS$35 dan bukannya harga biasa iaitu AS$75, berserta sarapan pagi.

Trend tempahan untuk bulan-bulan akan datang bagaimanapun masih kurang memberangsangkan, dengan kadar penghunian dalam paras 10 peratus.

Pengendali pusat pelancongan di kawasan pantai turut terjejas lebih-lebih lagi dengan kedatangan musim monsun. - Reuters

Bagaimanapun, keadaan tersebut ternyata menarik minat golongan pelancong yang mengambil peluang mengembara dengan kos perbelanjaan rendah.

“Saya menempah penginapan selama enam malam di sebuah hotel mewah pada harga AS$200 sahaja yang antara lain disertai rawatan ayurveda,” ujar pelancong Sweden, Leif Ohlson, 52.

Menurut Ketua Biro Pelancongan, Kishu Gomes, secara purata pada setiap hari terdapat sejumlah 1,400 hingga 1,500 pelancong asing berada di Sri Lanka.

Jumlah itu meningkat sedikit demi sedikit sejak insiden serangan lalu, namun masih jauh berbanding purata sejumlah 4,500 tahun lalu.

"Kami menjangkakan semua akan pulih. Masih awal untuk bercakap tentang perkembangannya," ujar Gomes yang turut optimis apabila China dan India telah menarik balik nasihat perjalanan ke atas rakyat masing-masing yang hendak ke Sri Lanka.