Teknik terbaharu analisis asid deoksiribonukleik (DNA) kini digunakan untuk mengenal pasti lebih ramai mangsa serangan bangunan World Trade Center, pada 11 September 2001.

Perkembangan itu diumumkan ketua sekumpulan saintis New York pada pada Khamis, lapor Reuters.

Walaupun angka kematian dalam tragedi pesawat menghentam menara berkembar itu berjumlah 2,753, lebih 1,000 orang lagi masih belum dapat dikenal pasti, sekali gus meninggalkan kesan emosi mendalam pada waris mangsa.

Teknologi baharu itu baru-baru ini mampu mengesahkan identiti seorang pekerja bahagian kewangan, Scott Michael Johnson, 26 tahun, yang bertugas di aras 89, di menara selatan bangunan itu.

Seorang mangsa baharu berjaya dikenal pasti setiap tahun sejak lima tahun lalu lantaran kemajuan proses penyelidikan tersebut bermula 2001.

Para penyiasat dalam makmal jenayah terbesar itu kini berhasil mendapatkan keputusan yang dikehendaki menerusi pemeriksaan semula ke atas serpihan tulang yang selama ini gagal memberi sebarang petunjuk.

“Ia dari sampel yang telahpun kami buat pemeriksaan sebelum ini,” ujar ketua makmal, Mark Desire.

Tambah Desire, kaedah baharu yang digelar ‘World Trade Center Protocol’ itu telah dimanfaatkan untuk mengenal pasti mangsa-mangsa kemalangan kereta api dan kapal terbang serta serangan pengganas di Argentina, Kanada, Afrika Selatan dan banyak lagi.