Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam srangan di sebuah universiti di Kabul, ujar jurucakap pejabat ketua polis Basir Mujahid.

Tujuh pelajar, tiga anggota polis dan dua pengawal keselamatan maut dalam serangan di kampus American University.

Menurutnya, kira-kira 750 pelajar berada di dalam kampus itu sewaktu kejadian.

Dua penyerang yang dikaitkan dengan kumpulan militan itu akhirnya maut apabila pasukan polis menyerbu universiti berkenaan, kata ketua jabatan siasatan jenayah Kabul, Fraidoon Obaidi.

"Kami mengakhiri operasi ini, Dua penyerang telah ditembak mati,” kata Obaidi.

Saksi berkata, penyerang yang menggunakan senjata dan bahan letupan mencetuskan huru-hara dalam kawasan kampus, dengan sebahagian daripada pelajar yang tidak sempat melarikan diri, terpaksa bersembunyi di dalam bangunan.

Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Selama bertahun-tahun, kerajaan Afghanistan dan sekutu Amerika Syarikat (AS) terus memerangi Taliban dengan kes terbaru melibatkan dua profesor yang diculik.

Serangan yang berlaku kira-kira 7 malam waktu tempatan itu mendapat reaksi segera daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mengutuk serangan berkenaan.

Jurucakapnya, Elizabeth Trudeau mengesahkan, tentera Amerika Syarikat kini sedang membantu tentera Afghanistan bagi mengesan dan membersihkan kampus universiti berkenaan daripada kumpulan penyerang.

Serangan ke atas universiti berkenaan, berlaku kira-kira dua minggu selepas dua kakitangannya iaitu masing-masing seorang warga negara Amerika Syarikat dan Australia diculik oleh lelaki bersenjata.