Pihak berkuasa Florida menegaskan pihaknya telah mengikut protokol piawaian apabila melakukan tangkapan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun dan bertindak menggarinya.

Tindakan itu diambil selepas budak itu dilaporkan menumbuk gurunya berulang kali selain menendang dan menarik rambutnya.

Insiden berlaku pada Khamis apabila seorang guru di Pusat K-8 Coral Way di Miami menegur kanak-kanak itu kerana bermain dengan makanannya di kafeteria.

Kanak-kanak itu enggan berhenti berbuat demikian apabila diminta gurunya, lantas bertindak memukul guru berkenaan sehingga dia terjatuh.

Kanak-kanak itu pada mulanya dimasukkan ke Hospital Kanak-kanak Miami menurut Akta Kesihatan Mental Florida bagi menjalani pemeriksaan berdasarkan kelakuannya yang boleh mengancam dirinya sendiri atau orang lain.

Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu Mercy Alvarez berkata, anaknya tidak mempunyai masalah mental.

Sebaliknya, dia menganggap tangkapan yang dilakukan polis itu merupakan satu penyalahgunaan kuasa.

Dia juga katanya sedang mencari punca kenapa anaknya mengalami masalah sejak sesi persekolahan bermula tahun ini.

Menurutnya, pada tahun-tahun sebelum ini, anaknya memperolehi gred yang baik, mengambil bahagian dalam aktiviti di sekolah dan menunjukkan kelakuan yang baik.

Visual tangkapan kanak-kanak itu tular di laman sosial selepas pihak polis bertindak menggarinya sebelum dibawa ke hospital.