SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dilaporkan hilang, ditemui mati di dalam sebuah kereta di mana suhu di dalamnya boleh mencecah 50 darjah Celsius (°C).

Insiden itu berlaku pada Rabu di Denton, Texas, Amerika Syarikat.

Menurut pihak berkuasa, kanak-kanak yang bernama Sarbesh Gurun itu hilang selepas ditidurkan oleh ibunya di rumah pada Selasa.

Polis percaya, mangsa mungkin terbangun dari tidur dan keluar dari rumahnya dengan sendiri.

Apabila sedar anaknya hilang, ibu mangsa menghubungi polis dan mereka melakukan pencarian selama 15 jam.

Bagaimanapun, seorang jiran yang menemui mayat kanak-kanak itu dalam sebuah kereta di kawasan berdekatan, ketika dia hendak keluar ke pejabat pada pukul 6 pagi Rabu.

Ia masih tidak diketahui lagi bagaimana Sarbesh berjaya masuk ke dalam kereta yang telah dipasangkan cermin gelap itu.

Menurut AccuWeather, suhu mencapai 34°C di Denton, bermakna suhu di dalam kereta berkenaan mungkin telah melonjak sehingga 50°C.

"Dengan cuaca di Texas sekarang dan mangsa hanya berusia dua tahun, tidak mustahil suhu badannya boleh meningkat secara mendadak," kata Ketua Polis Denton, Frank Dixon.

Ujarnya, pemeriksaan awal mendapati tiada tanda trauma yang jelas pada tubuh Sarbesh dan mayat mangsa telah dibawa ke pejabat pemeriksa perubatan untuk bedah siasat.

"Buat masa ini, kita tidak ada suspek kerana tiada petunjuk elemen jenayah dalam kes ini.

"Sekarang juga bukan masanya untuk menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama untuk sembuh dari tragedi ini," katanya.