Seorang kanak-kanak lelaki enam tahun mati terkena kejutan elektrik selepas bermain bersama rakannya di taman perumahan di Narsingi, Hyderabad.

Dalam kejadian pada malam Isnin itu, mangsa sedang bermain bola bersama beberapa rakannya sebelum bola itu melantun berhampiran satu lubang bekas tiang lampu.

Ketika ingin mengambil bola itu, kanak-kanak malang terbabit terkena renjatan elektrik daripada bawah tanah, lapor portal Times of India.

Orang ramai yang berada di kawasan berkenaan terkejut dengan insiden menimpa mangsa.

Ibu kanak-kanak itu dan beberapa orang awam bergegas mendapatkan mangsa sebelum dikejarkan ke hospital.

Sebaik sahaja tiba di sebuah hospital swasta mangsa disahkan meninggal dunia.

Beberapa penduduk menyatakan kekesalan kepada pihak swasta yang mengabaikan keselamatan dengan membiarkan lubang itu tanpa penyelenggaraan.