Perkampungan Jabri yang terletak jauh di kawasan pergunungan di Lembah Neelum, yang menyaksikan wilayah Kashmir terbahagi dua antara India dan Pakistan menerusi aliran sebuah sungai, seharusnya tidak terlibat dengan sebarang masalah ketenteraan antara dua negara itu.

Segalanya berubah pada bulan lalu apabila perkampungan itu menjadi medan berbalas tembakan, dan kemudiannya sebuah alat ledakan akhirnya secara tidak sengaja boleh berada di tangan seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, Mohammad Ayan Ali.

"Dia menemui bom yang kelihatan seperti permainan, dan dia bawa ia pulang ke sini,” ujar bapa saudata Ayan, Abdul Qayyum, yang menunjukkan rumah mangsa.

Ayan telah menunjukkan ‘permainan’ yang ditemuinya itu kepada adik-beradiknya sewaktu mereka sekeluarga hendak menikmati sarapan pagi. Ia meletup, lalu meragut nyawa Ayan dan mencederakan lapan adik-beradiknya, ibunya dan seorang sepupu.

"Mereka baru saja hendak merampasnya daripada Ayan, namun ia metup. Dia mati serta-merta di tempat kejadian,” ujar Abdul Qayyum.

Kesan lubang di lantai konkrit ini menunjukkan tempat Ayan berdiri bersama bom itu sewaktu ia meteup. - Reuters

Tentera Pakistan berkata barang yang ditemui Ayan itu adalah bom kluster, senjata yang melepaskan banyak kepingan logam kecil yang boleh membunuh atau mencederakan di kawasan yang luas.

Bom kluster sudah diharamkan di bawah Konvensyen Geneva yang memantau hal ehwal peperangan antarabangsa.

Kerajaan dan tentera India menafikan dakwaan terlibat dalam kejadian itu, dan menyatakan semua tembakan balasnya adalah berdasarkan arah tembakan tentera dari pihak Pakistan.

Di rumah Ayan dan keluarganya, terdapat kesan lubang di lantai konkrit yang menandakan tempat Ayan berdiri bersama bom itu.

"Kanak-kanak sedang bermain bersama dan tiba-tiba ada bunyi letupan yang kuat dan asap memenuhi ruang. Saya tidak dapat melihat apa-apa,” ujar kakak Ayan, Sadaf Siddiq.

Tentera Pakistan telah membersihkan beberapa bom yang belum meledak di kawasan tersebut. Setakat ini, tiada pihak berkecuali yang dapat mengecam pemilikan bom tersebut.

Kejadian berbalas tembakan di sempadan semaki n meningkat sejak kebelakangan ini, dengan India dan Pakistan saling menuduh pihak lawan melanggar gencatan senjata di kawasan sempadan sepanjang 740 kilometer yang menjadi pertikaian.