Pasukan penyelamat di Thailand bersiap sedia membawa keluar bot pelancong pada Ahad yang karam di perairan pulau Phuket.

Sekurang-kurangnya 41 maut dalam kejadian itu manakala 15 yang lain masih hilang.

Ketika kejadian, 'The Phoenix' membawa 105 penumpang termasuk 93 pelancong dari China dan 12 anak kapal warga Thailand.

Bot tersebut karam akibat cuaca buruk pada Khamis dalam kejadian yang disifatkan sebagai kemalangan terburuk di Thailand yang melibatkan pelancong asing.

Kapten bot berkenaan telahpun didakwa atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan pada Sabtu.

Namun dia mengaku tidak bersalah atas kesemua tuduhan tersebut.

"Kapten bot berkenaan telah didakwa atas kesalahan cuai sehingga menyebabkan kerosakan dan kematian," kata Ketua Polis Daerah Leftenan General Sorasak Yenprem pada Sabtu.

Menurut pihak berkuasa, 41 penumpang telah disahkan terkorban, 49 mangsa berjaya diselamatkan manakala 15 yang lain masih hilang.

Pasukan penyelam juga telah memasuki bot berkenaan bagi mencari mangsa, dibantu beberapa buah helikopter.


Anggota keluarga dan rakan-rakan mangsa mula tiba di Phuket bagi mengenalpasti mayat.

Bot The Phoenix karam di Laut Andaman di perairan Ko He, yang terkenal dengan pantainya dan keindahan terumbu karang di sana.

Dua buah bot lain termasuk sebuah kapal pesiar, juga telah karam di kawasan tersebut pada Khamis, namun kesemua penumpang berjaya diselamatkan, menurut pegawai.