Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jakarta mengeluarkan amaran keselamatan kepada rakyatnya supaya jauhkan diri daripada kawasan tunjuk perasaan besar di Jakarta dan beberapa bandar lain termasuk Surabaya di Jawa Timur dan Medan di Sumatera Utara.

Amaran itu dikeluarkan pada Ahad sebagai langkah menjaga keselamatan rakyatnya di negara berkenaan menjelang pengumuman rasmi keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) pada Rabu depan.

Menerusi satu lagi kenyataan kedutaan itu pada Jumaat, pengumuman rasmi keputusan itu boleh membawa kepada ancaman kepada rakyatnya ekoran insiden serangan militan di negara itu.

Sebelum ini, kira-kira 30 militan termasuk beberapa suspek yang mempunyai keupayaan melancarkan serangan bom dengan menggunakan rangkaian Wi-Fi telah membuat kekecohan di ibu negara.

Dalam pada itu pihak berkuasa Indonesia juga memaklumkan mereka akan meningkatkan keselamatan di seluruh kawasan sebelum keputusan rasmi pilihan raya presiden itu diumumkan.

Sehingga kini, pihak berkuasa memaklumkan pihaknya sudah menahan 29 suspek yang dikaitkan dengan Jamaah Ansharut Daulah (JAD) bulan ini.

Ia adalah kumpulan yang terbesar di negara itu yang dikaitkan dengan Daish dan polis telah merampas sekurang-kurangnya lima bom buatan sendiri di beberapa lokasi di seluruh Jawa dan Sulawesi Utara.

Suspek juga dipercayai mempunyai latihan separa tentera dan pernah ke Syria sebagai pejuang asing.