Polis Metropolitan Tokyo mendedahkan kes mengejutkan apabila tujuh janin ditemui di sebuah kediaman yang dihuni oleh seorang doktor, lapor portal berita Japan Today.

Semua janin yang disimpan dalam botol itu disembunyikan di bawah kediaman yang terletak di Bunkyo Ward, Hakusan.

Pada Ahad, pemilik hartanah itu telah membuat aduan kepada polis tentang penemuan beberapa janin dalam botol yang turut diisi dengan bahan kimia formaldehid. Semua botol itu ditanam di bawah lantai bilik air.

Sejurus membuat serbuan, polis mengesahkan penemuan enam botol yang mengandungi tujuh janin di lokasi itu. Janin-janin tersebut, yang masih tersambung dengan tali pusat, dipercayai dalam keadaan sedemikian kerana semuanya digugurkan dari kandungan ataupun kelahiran maut.

Beberapa fizikal janin itu berukuran kira-kira 30 sentimeter.

Rumah berkenaan berusia 80 tahun. Selepas disewa selama 20 tahun, ia kosong tanpa penghuni sejak tahun 2015. Janin-janin itu ditemui pada 8 Mac lalu oleh pekerja pemusnah makhluk perosak yang diupah pemilik baharu premis itu, sewaktu kerja-kerja baik pulih dilakukan.

Polis memberitahu, datuk dan moyang kepada penghuni lama tempat itu adalah pakar obstetrik yang banyak menguruskan soal kandungan wanita hamil. Si datuk sudah meninggal dunia 31 tahun lalu manakala si moyang sudah meninggal dunia 26 tahun sebelum itu.

Pihak polis kini menyoal siasat saudara-mara dan individu terdekat berkaitan kes tersebut.