Presiden Donald Trump pada Khamis sekali lagi membuat pengumuman akan mengundurkan sepenuhnya tentera Amerika Syarikat dari Syria.

Namun, beliau menjelaskan, 400 orang anggota tentera akan kekal berkhidmat di rantau itu bagi memenuhi komitmen dengan blok Eropah berhubung pemantauan di zon selamat.

Katanya, 200 daripada tentera Amerika itu akan ditempatkan di timur laut Syria, sementara 200 lagi akan kekal di pangkalan tentera Amerika berdekatan sempadan Iran dan Jordan.

Menjelaskan perkara itu, Trump menafikan keputusan yang dibuat itu bertentangan dengan pendirian beliau terdahulu dari ini.

"Saya bukan berpatah balik. Saya telah melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan oleh orang lain," katanya kepada pemberita di pejabatnya pada Jumaat.

Disember lalu, Trump mengumumkan pengunduran tersebut selepas Washington yakin pihaknya akan menang dalam peperangan ke atas militan Daish di Syria.

Walaupun mengarahkan tenteranya berundur, Trump menegaskan Amerika masih meneruskan komitmen memerangi militan Daish.

Anggota tentera yang kekal akan bertanggungjawab memastikan kumpulan berkenaan tidak bertambah.