SEGELINTIR rakyat Kanada kini mengambil inisiatif untuk belajar bahasa Arab untuk memudahkan komunikasi setelah ribuan pelarian Syria tiba di negara itu bermula pada Disember lepas.

Memetik laporan The Huffington Post, seorang penduduk tempatan, David Foster, kini ketuai satu program di Ontario untuk mengajar warga Kanada untuk belajar bahasa Arab.

Foster yang fasih berbahasa Arab berkata ia juga sebagai usaha untuk memudahkan golongan pelarian untuk menyusuaikan diri ketika berada di Kanada.

Foster bersama seorang lagi warga Kanada yang berasal dari Iraq, Nabil Al-Ramahy, mengajar perkataan dan angka dalam bahasa Arab kepada warga Kanada.

Sementara itu, ada juga kelas untuk mengajar bahasa Inggeris kepada golongan pelarian.

"Kelas kami berhasrat untuk mewujudkan keharmonian antara warga Kanada dan pelarian Syria melalui bahasa Arab.

"Kami juga berhasrat untuk warga Kanada memahami bahawa orang Arab adalah orang yang aman yang sebenarnya kutuk serangan yang berlaku di negara mereka sehingga mereka harus berpindah ke negara-negara barat seperti Kanada," kata Al-Ramahy kepada The Huffington Post.

Sementara itu, kumpulan seperti Ripple Refugee Project juga menganjur kutipan dana dan pelbagai acara untuk mengeratkan hubungan antara penduduk tempatan dan golongan pelarian.

Setakat ini, 17,862 pelarian Syria sudah tiba di Kanada sejak 8 Feb dan angka itu akan meningkat kepada 25,000 jumlah pelarian, lapor The Huffington Post.

Warga Kanada sebelum ini terkenal dengan sikap ramah dan terbuka dengan kehadiran pelarian Syria.

Pada Disember, sebuah video yang memaparkan kumpulan koir menyanyikan lagu nasyid, Tala' al-Badru 'Alayna, dikongsi di laman YouTube dan dikatakan salah satu cara rakyat Kanada meraikan kedatangan saudara-saudara baru mereka.

Malah, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau sendiri menyambut ketibaan kumpulan pertama pelarian Syria yang tiba di lapangan terbang Toronto pada awal Disember.