Ibu kepada seorang mangsa penerbangan Malaysia Airlines MH17 telah memulakan prosiding undang-undang terhadap kerajaan Ukraine di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dengan pertuduhan Kiev gagal untuk menutup ruang udara di negara tersebut.

Menurut laporan sebuah akhbar di Jerman, Bild - wanita itu membuat aduan di mahkamah yang berpangkalan di Strasbourg menyaman Ukraine untuk US$1 juta sebagai ganti rugi di atas kecuaian yang menyebabkan 298 orang anak kapal terbunuh.

Pesawat MH17 ditembak jatuh oleh pemberontak di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, di mana 193 daripada anak kapal adalah warganegara Belanda manakala empat daripadanya ialah rakyat Jerman.

Kiev dan Barat menuduh pihak pemisah telah menembak jatuh pesawat tersebut dengan melepas peluru berpandu ke udara yang dibekalkan pihak Rusia.

Namun perkara tersebut dinafikan Moscow.

Plaintif dalam kes ini mendakwa bahawa Ukraine sepatutnya menutup ruang udara untuk penerbangan awam ketika peperangan berlarutan di timur negara itu.

Wanita itu mendakwa bahawa Ukraine memilih untuk tidak menutup ruang udara kerana tidak mahu kehilangan yuran penerbangan.

Pada masa itu, kira-kira 700 penerbangan yang menyeberangi wilayah Ukraine sehari membawa masuk berjuta-juta euro ke dalam pendapatan negara, tulis akhbar Bild lagi.

Wanita itu menggunakan khidmat peguam bela Jerman, Elmar Giemulla, seorang profesor undang-undang penerbangan.

Giemulla mengumumkan pada bulan September beliau akan mewakili tiga keluarga mangsa rakyat Jerman yang terlibat dalam nahas MH17.

"Negara yang menyediakan ruang udara terbuka untuk transit oleh pesawat dari negara-negara lain, wajib memastikan keselamatan penerbangan. Jika ia dilihat mustahil buat sementara waktu, bermakna bahawa negara tersebut harus menutup ruang udara mereka demi keselamatan" kata Giemulla kepada AFP.