Tutup

Berita  | Dunia

Kemalangan maut: Wanita Amerika sedia temui polis UK, dengan syarat

Kemalangan maut: Wanita Amerika sedia temui polis UK, dengan syarat
Harry Dunn dilanggar di sebatang jalan dua hala berhampiran RAF Croughton setelah bertembung dengan kereta yang dipandu Anne di lorong yang salah. - Facebook Justice4Harry
ANNE SACOOLAS, warga Amerika yang pulang menggunakan imuniti diplomatik sejurus selepas terlibat kemalangan maut di Northamptonshire, England bakal bertemu polis United Kingdom (UK).

Polis Northumbria - daerah tempat kejadian di UK - sedang membuat persiapan bertolak ke Amerika bagi tujuan menyoal Sacoolas, 43 tahun, berhubung kemalangan pada 27 Ogos lalu yang meragut nyawa Harry Dunn, 19 tahun. 
Pertemuan itu ekoran desakan keluarga Dunn mempersoalkan hak Sacoolas berlindung dari tindakan undang-undang menggunakan imuniti diplomatik.

Sekarang, hampir dua bulan selepas kemalangan yang berlaku di luar Pengkalan Tentera Udara Croughton, Northamptonshire di UK, Sacoolas bersedia menemui polis dengan syarat ia berlangsung di Amerika.
Menurut polis Northumbria, Anne Sacoolas membuat tawaran itu bertujuan memberi peluang pihak UK bertemu dan melihat bagaimana keluarganya begitu terkesan akibat kemalangan yang meragut nyawa Dunn.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump gagal dalam percubaan mengatur pertemuan antara Sacoolas dan keluarga Dunn di White House.

Rancangan pertemuan itu cuba diatur Trump sewaktu ibu Harry, Charlotte Charles dan bapanya Tim Dunn berkunjung ke Amerika bagi mendesak Sacoolas beri kerjasama dalam siasatan berhubung kemalangan dan bertanggung jawab terhadap kematian Harry.

Ini ekoran tindakan itu dilihat oleh keluarga Dunn sebagai kurang sesuai dan dibuat secara mengejut.

Menurut polis, Sacoolas akan disoal dalam keadaan 'beramaran' (questioned under caution) yang bermaksud setiap pengakuan yang dibuatnya berkemungkinan diguna di mahkamah sekiranya ada perbicaraan kelak.

Sacoolas juga berhak tidak menjawab sebarang soalan yang diajukan polis.

Walaupun menyambut baik perkembangan ini, Tim Dunn tidak begitu mengharap Sacoolas akan menjejak kaki semula di UK untuk melalui proses perundangan tempatan.

Ini berdasarkan kenyataan Trump yang menyokong sebarang usaha ekstradisi.

Menurut Tim, Presiden Trump tidak memberi sebarang harapan Anne Sacoolas bakal diserahkan secara rela mahupun secara paksa untuk dihantar pulang ke UK.

Ini berikutan 'kekebalan' imuniti diplomatik yang diguna Sacoolas untuk 'lari' pulang sejurus selepas kemalangan maut itu.

Harry Dunn yang menunggang motosikal dilanggar di sebatang jalan dua hala berhampiran RAF Croughton setelah bertembung dengan kereta yang dipandu Anne di lorong yang salah.

Tanpa menunggu siasatan dijalankan, Anne menggunakan imuniti diplomatik untuk bergegas pulang ke Amerika.

Kini timbul persoalan sama ada Anne benar benar layak dilindungi imuniti berdasarkan status diplomat suaminya yang berkhidmat sebagai anggota perisik maklumat Amerika di RAF Croughton.

Ekoran insiden ini, pihak Kementerian Luar UK mahu menyemak semula kelayakan kekebalan kepada warga Amerika yang bukan dari komuniti diplomat.

Sementara itu, Setiausaha Luar bayangan Anne Thornberry mendesak agar semua perhubungan tentang kes in melibatkan polis dan kedutaan didedah untuk pengetahuan umum.

Ini bagi mengelakkan sebarang keputusan yang mungkin menimbulkan keraguan berhubung siasatan kemalangan yang menyebabkan kematian Harry Dunn.







Tag: imuniti diplomatik, kemalangan maut, siasatan, ekstradisi, anggota perisik maklumat, Harry Dunn, tindakan undang-undang, Donald Trump, White House, England, United Kingdom, Anne Sacoolas, questioned under caution, kelayakan kekebalan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.