SATU insiden menggemparkan dilapor berlaku di Rusia di mana dua beradik nekad terjun dari tingkat 10 apartmen dihuni mereka.

Dalam insiden yang berlaku di Izhevsk itu, dua beradik tersebut -- Anastasia Svetozarova, 15 tahun, dan adiknya adiknya, Maria Vinogradova, 12 tahun -- dilapor bertindak demikian dipercayai akibat dilanda kemurungan melampau.

Maria dikatakan mengalami kemurungan selepas dibawa bertemu pakar sakit puan apabila ibunya mengetahui tentang hubungannya dengan seorang teman lelaki berusia 12 tahun, lapor portal Daily Mail.

Kakak Maria pula dilapor telah mengalami kemurungan sejak sekian lama, menurut kata teman lelakinya sepertimana dalam laporan portal tersebut.

Sebelum terjun, dua beradik itu sempat meninggalkan mesej di laman media sosial mereka.

Dalam satu video yang dirakam sendiri oleh Anastasia, dia mengucapkan selamat tinggal dan berkata dia amat menyayangi orang di sekelilingnya.

Namun, muncul satu lagi teori yang dikaitkan dengan insiden ini. Menurut polis Rusia, kematian dua beradik ini mungkin ada kaitan dengan ‘Blue Whale Challenge’.

Permainan kontroversi ini merupakan satu aplikasi yang mencabar pemain, khususnya remaja, untuk melakukan beberapa tugasan yang diberikan oleh pencabar yang tidak dikenali, dalam masa 50 hari sebelum mereka akhirnya membunuh diri.

Pihak polis kini sedang meneliti telefon bimbit dan komputer kedua-dua adik beradik ini untuk sebarang petunjuk yang menjurus kepada penglibatan mereka dengan aplikasi tersebut.

Untuk rekod, kejadian yang hampir sama berlaku di Bandung, Indonesia pada Julai tahun lalu apabila dua beradik terjun dari tingkat empat apartmen akibat kemurungan yang dialami.