Seorang kanak-kanak kembali semula kepada datuk dan neneknya selepas dijual oleh kedua ibu bapa kandung .

Kanak-kanak berusia tiga tahun yang berasal daripada utara Wilayah Fujian, China tahun lalu dijual pada harga RM73,000 (120,000 yuan).

Pasukan polis menyerahkan semula kanak-kanak malang itu kepada datuknya minggu lalu selepas mangsa ditemui bersama pasangan yang membelinya Januari lalu, seperti lapor Beijing Youth Daily.

Kanak-kanak itu telah dijaga oleh datuk dan neneknya sejak berusia lapan bulan sebelum diambil oleh ibu dan bapa kandungnya selepas majlis pertemuan keluarga.


Difahamkan, bapa kandung kanak-kanak itu dipenjarakan atas kesalahan dadah.

Pihak polis juga telah menjejaki lelaki tersebut dan 'keluarga angkatnya' serta menemukannya.

"Kenapa mereka sekejam itu? Saya dan isteri boleh menyara atau membesarkan mangsa. Tergamak mereka menjual mangsa," katanya merujuk kepada tindakan anak dan menantu wanitanya.

Dalam pada itu, hasil soal siasat ke atas bapa kanak-kanak malang itu mendapati, dia dan isteri telah bersetuju menjual anak mereka kepada satu pasangan dalam pertemuan di Taman Jinjiang pada 17 Januari lalu.

Bapa mangsa dan isteri yang telah berpisah memutuskan untuk membahagikan wang bayaran selain setiap seorang memperolehi RM37,000 (60,000 yuan).

Di bawah undang-undang China, pesalah penyeludupan wanita dan kanak-kanak mungkin berdepan penjara sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun.