Sebuah patung kepala Firaun berusia 3,000 tahun dilelong pada harga mencecah AS$6 juta atau kira-kira RM20 juta di London.

Lelongan patung dikenali sebagai Raja Tutankhamun itu berlangsung pada Khamis di sebalik tuntutan kerajaan Mesir mahu artifak itu dipulangkan.

Patung yang diukir menggunakan batu kuarzit coklat itu kini dipamerkan di rumah lelongan Christie di London.

Bagaimanapun, siapa pembeli patung Raja Tutankhamun itu tidak didedahkan.

Setiausaha Agung Majlis Tinggi Barang Purba Mesir, Mostafa Waziri berkata, beliau kecewa lelongan itu diteruskan.

Dakwa Mostafa, pihaknya percaya artifak itu dibawa keluar dari Mesir secara haram dan firma Christie gagal menunjukkan dokumen mengenainya.




Sementara itu, bekas Menteri Barang Antik, Zahi Hawass mendakwa patung berkenaan dicuri dari Kompleks Kuil Karnak pada tahun 1970-an.

Patung setinggi 28.5 sentimeter itu berada dalam keadaan sangat baik, hanya bahagian hidung dan telinga mengalami kerosakan.

Mengikut rekod, Tutankhamun diangkat menaiki takhta sebagai Firaun Mesir purba ketika berusia sekitar sembilan tahun.

Namun, Tutankhamun hanya sempat berada di atas takhta selama sepuluh tahun, sebelum meninggal dunia ketika masih remaja.