Kerajaan Pakistan membantah keputusan ketua panel tiga hakim yang mengarahkan mayat bekas pemimpin tentera Pakistan dalam buangan Pervez Musharraf digantung tiga hari jika didapati meninggal sebelum menjalani hukumannya.

Mahkamah Khas menjatuhkan hukuman mati pada Selasa selepas bekas pemimpin itu didapati bersalah atas tuduhan khianat dan menggulingkan Perlembagaan pada 2007 bagi mengekalkan kuasa.

Mahkamah mengarahkan penguat kuasa undang-undang menangkap Musharraf yang sedang mendapatkan rawatan di Dubai bagi memastikan hukuman mati dapat dijalankan.

Berdasarkan hukuman iaitu sekiranya beliau didapati meninggal sebelum hukuman, mayatnya perlu diseret dan digantung di bulatan jalan atau dataran di luar Parlimen Islamabad, Pakistan selama tiga hari.

Menteri Undang-Undang Pakistan, Farogh Naseem berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyingkirkan ketua panel tiga hakim, Waqar Ahmad Seth yang didakwa melanggar perundangan kehakiman.

Jelasnya, hakim berkenaan tidak boleh mempunyai kuasa untuk menjadi hakim di mana-mana mahkamah di Pakistan.

Kenyataan itu sekali gus membangkitkan ketegangan antara para hakim dan dibawa ke pengetahuan perdana menteri Imran Khan.