Kerajaan Britain bakal mengeluarkan larangan terhadap penggunaan straw plastik, pengaduk minuman plastik dan putik kapas serta menggesa agar negara anggota Komanwel lain mengikut langkah sama.

Pihak berkuasa menegaskan, larangan penggunaan kesemua bahan tersebut akan menjadikan laut dan pantai di negara itu lebih bersih dan bebas dari pencemaran.

Setiausaha Alam Sekitar Michael Gove menerusi satu temu bual bersama Sky News berkata, adalah penting untuk menjaga kebersihan laut supaya bebas dari sebarang barangan plastik yang mencemarkan ekosistem.

Perdana Menteri Britain, Theresa May menerusi satu mesyuarat pemimpin anggota Komanwel di London pada Khamis turut memaklumkan bahawa melindungi ekosistem laut merupakan agenda utama mereka.

Selain itu, May juga menggesa agar kesemua negara anggota untuk berdaftar dengan Commonwealth Clean Oceans Alliance yang baru ditubuhkan bagi menjayakan tujuan itu.

Kerajaan Britain telah memperuntukkan dana sebanyak 61.4 juta pound untuk menjalankan kajian bagi meneliti kaedah-kaedah terbaharu membersih dan mencegah sampah plastik dari terus menjadi sisa buangan di laut.