Berita  | Dunia

Kerajaan AS ditutup pada tengah malam selepas Senat berhenti rehat

Kerajaan AS ditutup pada tengah malam selepas Senat berhenti rehat
Bangunan US Capitol di Washington pada 8 Februari, 2018. REUTERS
WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup pada tengah malam selepas Senat berhenti rehat dan terlepas tarikh akhir untuk meluluskan satu rang undang-undang belanjawan jangka pendek, lapor agensi berita China Xinhua.

Senator Rand Paul pada Khamis telah menghalang Senat daripada mengundi bagi meluluskan rang undang-undang yang akan membiayai perbelanjaan kerajaan sehingga 23 Mac serta satu pakej bajet dwipemihak, yang bakal menentukan kerangka perbelanjaan bagi tahun fiskal 2018 dan 2019.

Paul menentang pakej bajet itu atas alasan ia akan menambah hutang serta defisit fiskal kepada kerajaan.
Pakej bajet itu, yang dipersetujui oleh pemimpin kedua-dua Parti Republikan dan Demokratik serta disokong Presiden Donald Trump, akan meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan bukan pertahanan sebanyak kira-kira US$300 bilion bagi tempoh dua tahun akan datang, dan turut meningkatkan siling hutang sehingga Mac 2019.

Senat berhenti rehat pada kira-kira pukul 11 malam Khamis (0400 GMT Jumaat) dan bercadang untuk bersidang semula sejurus selepas tengah malam.

Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih (OMB) pada Khamis telah mengarahkan agensi-agensi persekutuan bersiap sedia untuk berdepan dengan situasi ketiadaan pembiayaan.

Pakej bajet itu, yang digabungkan dengan rang undang-undang belanjawan jangka pendek, dijangka diluluskan oleh Dewan Senat pada awal pagi Jumaat, meskipun berdepan tentangan daripada Paul, menurut laporan media.

-- BERNAMA