Kerajaan Thailand membayar pampasan kepada tiga keluarga mangsa yang mati, dipercayai ditembak renjer di daerah Rangae, Narathiwat, selatan Thailand, Isnin lepas.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) Somkiat Polprayoon dan Gabenor Narathiwat Ekkarat Leesen, mewakili kerajaan menyampaikan wang pampasan sebanyak 500,000 Baht kepada setiap keluarga mangsa hari ini.

Somkiat berkata pampasan itu hanya "peringkat awal".

"Pihak kerajaan sedia membantu ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 16 Dis lalu, ketiga-tiga mangsa yang merupakan penebang pokok yang berusia 24 hingga 27 tahun ditemui maut dengan kesan tembakan, dalam sebuah hutan di daerah Rangae.

Semalam, dua anggota renjer yang dipercayai menembak mangsa telah menyerah diri kepada pihak polis.

-- BERNAMA