Timbalan Perdana Menteri Thailand Jen Prawit Wongsuwan tidak meletak jawatan daripada kerajaan seperti dihebohkan oleh pihak yang membuat spekulasi, demikian diumumkan oleh jurucakap Kementerian Pertahanan Lt Jen Kongcheep Tantrawanich.

Menurut beliau, Prawit, 72, berhasrat untuk terus menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

"Jen Prawit Wongsuwan masih berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dan tidak melepaskan jawatan seperti pihak-pihak membuat spekulasi,"kata beliau dalam satu kenyataan ringkas di sini.

Timbalan perdana menteri yang juga bertanggungjawab terhadap keselamatan dalam negeri Thailand telah berlepas ke Singapura awal hari ini dan akan berada di republik itu sehingga Rabu untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN.

Jen Prawit mendapat perhatian orang ramai yang mendesak beliau meletak jawatan selepas beliau didapati memakai jam tangan mewah semasa menghadiri satu majlis kerajaan baru-baru ini.

Kontroversi yang berlarutan melibatkan jam tangan mewah timbalan perdana menteri disebut-sebut sebagai satu daripada sebab bagi kemerosotan populariti kerajaan pimpinan Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha dalam tinjauan populariti yang dijalankan baru-baru ini.

Bekas panglima tentera darat itu telah menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan jika beliau didapati bersalah hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) berhubung isu pemilikan jam tangan mewah.

NACC dalam satu kenyataan minggu lepas berkata ia berhasrat untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai jam tangan tersebut daripada timbalan perdana menteri.

Sebagai membela diri, Jen Prawit berkata jam tangan mewah itu ialah milik rakan-rakannya yang meminjamkan jam tangan tersebut kepadanya.

-- BERNAMA