Kerajaan Venezuela dan parti pembangkang pada Khamis mencapai kata sepakat untuk menangguhkan pilihan raya presiden serta pilihan raya legislatif bagi wakil negeri dan tempatan, yang dijadual berlangsung pada 22 April, sehingga separuh kedua bulan Mei.

"Kedua-dua pilihan raya disaran diadakan serentak pada minggu kedua terakhir bulan Mei 2018," kata Ketua Majlis Pilihan Raya Kebangsaan (CNE), Tibisay Lucena, ketika membacakan teks persetujuan itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Wakil kerajaan dan beberapa parti pembangkang telah menandatangani persetujuan itu di ibu pejabat CNE di Caracas.

Perjanjian baharu itu meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menubuhkan satu pasukan pemerhati untuk memantau pilihan raya tersebut.

Ia turut meminta agar satu kumpulan peringkat tinggi terdiri daripada wakil calon pilihan raya presiden ditubuhkan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar seperti yang dirancang.

Presiden Nicolas Maduro akan bertanding untuk pemilihan semula sebagai calon parti pemerintah, Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV).

Bekas gabenor negeri Lara, Henri Falcon, telah mendaftar untuk bertanding menentang Maduro sebagai calon Parti Progressive Advance and Movement Towards Socialism (MAS).

Wakil kedua-dua parti telah menandatangani persetujuan itu pada Khamis.

Bagaimanapun, gabungan parti berhaluan kanan, yang dikenali sebagai Meja Bulat Kesatuan Demokratik (MUD), bercadang memboikot kedua-dua pilihan raya.

-- BERNAMA