Berdepan hukuman penjara 175 tahun atas dakwaan mencabul atlet wanita, bekas doktor pasukan gimnastik Amerika Syarikat (AS), Larry Nassar dijatuhkan hukuman 125 tahun lagi dalam kes terbaharu yang membabitkannya.

Ini bermakna Nassar, 54 tahun, bakal meringkuk lebih 300 tahun dalam penjara.

Dia sebelum ini telah dijatuhkan hukuman terhadap dua pertuduhan melakukan serangan seksual ke atas lebih 150 remaja perempuan yang datang mendapatkan rawatan.

Ia menjadikan jumlah wanita yang mendakwa telah dicabul Nassar telah mencecah lebih 265 setakat ini.

Kes terbaharu melibatkan dakwaan serangan seksual di Twistars, sebuah gimnasium di Eaton County, Michigan.

"Anda dijatuhkan hukuman 40 hingga 125 tahun di Jabatan Pemulihan Michigan. Saya percaya hukuman itu adalah sepadan dengan kesalahan yang telah dilakukan dan kesengsaraan yang ditanggung mangsa," kata Hakim Janice Cunningham yang menjatuhkan hukuman itu di sebuah mahkamah di Charlotte, Michigan.

"Ramai yang mengalami kecederaan fizikal dan emosi akibat tindakan yang telah anda (Nassar) lakukan di seluruh negara dan dunia."

Dalam dua pertuduhan lalu, Nassar yang pernah melalui empat Sukan Olimpik, dituduh melakukan perbuatan terkutuk itu di antara 1998 dan 2015 ketika bertugas dengan skuad gimnastik (AS) dan Universiti Michigan.

Hukuman itu menamatkan prosiding perundangan jenayah membabitkan Nassar.