Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini dijangka mencapai angka seramai 1 juta orang dalam beberapa hari mendatang.

Angka terkini daripada statistik Johns Hopkins University menunjukkan, setakat jam 6 pagi 2 April waktu Malaysia, jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di seluruh dunia adalah sebanyak 926,095.

Terdapat tiga negara yang mempunyai angka jangkitan COVID-19 melebihi 100,000 kes, didahului Amerika Syarikat (209,071), disusuli Itali (110,574) dan Sepanyol (102,179).

Sementara itu, terdapat tiga lagi negara yang mempunyai angka jangkitan COVID-19 melebihi 50,000 kes, iaitu China (82,361), Jerman (77,779) dan Perancis (57,749).

Negara yang berada di tempat keenam dan menghampiri angka 50,000 adalah Iran, dengan 47,593 kes jangkitan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus juga menyatakan, angka kematian berkaitan pandemik itu dijangka mencecah 50,000 mangsa.

Sehingga kini, Itali masih kekal sebagai negara yang mempunyai kematian tertinggi akibat COVID-19 iaitu 13,155 mangsa.

Ini diikuti oleh Sepanyol sebanyak 9,131 mangsa dan Amerika Syarikat 4,757 mangsa.

Manakala Perancis dan China masing-masing mencatatkan 4,032 dan 3,193 mangsa.

Namun, Iran dijangka akan melepasi angka kematian di China dalam beberapa hari akan datang kerana negara itu kini mempunyai 3,036 kes kematian.

Manakala Britain dan Belanda mempunyai jumlah kes kematian sebanyak 2,352 dan 1173.

Negara lain masih mempunyai bilangan kematian kurang daripada 1,000 mangsa, namun terdapat dua negara dijangka melepasi angka tersebut dalam masa beberapa hari iaitu Jerman (920) dan Belgium (828).

Bagaimanapun, masih terdapat sinar harapan di seluruh dunia memandangkan jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh juga hampir mencapai 200,000 kes.

Sehingga kini, terdapat 193,117 pesakit yang telah sembuh daripada wabak tersebut.