Enam individu mengalami kecederaan apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di Houston, Texas pada Isnin, sebelum lelaki tersebut ditembak mati oleh polis.

Jurucakap Bomba Houston Richard Mann berkata kebanyakan mereka cedera kerana ditembak, manakala yang lain cedera akibat terkena sepihan kaca.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai suspek lain, kata pihak polis Houston menerusi akaun Twitter.

Polis berkata, mereka telah pun memeriksa kenderaan penembak untuk mengesan bahan letupan.

Menurut media tempatan, kenderaan yang dipandu suspek merupakan kereta jenis convertible berwarna hitam.

Menurut seorang saksi pula, suspek telah melepaskan tembakan pada kira-kira jam 11.30 GMT ke arah kereta yang sedang bergerak dari kawasan bangunan pangsapuri.

“Tembakan seperti tidak berhenti-henti. Empat, lima, enam tembakan dilepaskan,” kata jurukamera saluran LRTK di Houston, Jaime Zamora.

Pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk setempat untuk mendapatkan pelindungan di tempat yang selamat.