Berita  | Dunia

Kes wanita dipukul meningkat setiap kali England kalah beraksi

Kes wanita dipukul meningkat setiap kali England kalah beraksi
Di England dan Wales, lebih 1.9 juta wanita dewasa berumur 16-59 tahun menjadi mangsa penderaan domestik pada 2016/2017. -Instagram @jwtlondon
LONDON: Perlawanan England bertemu Croatia bagi menempah tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia 2018 di Rusia mempunyai makna yang lebih penting buat kaum wanita di negara ‘Three Lions’ itu.

Jika pasukan England kalah dalam perlawanan pada awal pagi Khamis (12 Julai), lebih ramai wanita yang akan menjadi mangsa penderaan domestik oleh pasangan mereka.

Menurut kaji selidik yang diterbitkan oleh Universiti Lancaster pada 2013, insiden penderaan domestik meningkat 38 peratus setiap kali pasukan bola sepak England kalah dalam perlawanan Piala Dunia.

Data yang dikumpul sempena Piala Dunia 2002, 2006 dan 2010 menunjukkan insiden penderaan meningkat 11 peratus apabila pasukan bola sepak negara itu seri atau menang dalam perlawanan.

Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat di negara itu mengenai realiti penderaan domestik yang dialami kaum wanita, Pusat Penderaan Domestik Nasional UK dan sebuah agensi pengiklanan untuk melancarkan pelbagai kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Antara kempen yang menarik perhatian adalah dari J. Walter Thompson (JWT) London yang diberi tajuk "If England gets beaten, so will she" (Jika England dikalahkan, begitu juga wanita).
Ia turut mengunakan frasa ‘The Not So Beautiful Game’ yang diinspirasikan frasa popular yang sering digunakan untuk menghuraikan permainan bola sepak, "It’s a beautiful game".

Poster-poster yang diterbitkan JWT telah menarik perhatian ramai termasuk peminat bola sepak sendiri.

Antara poster yang sering dikongsi adalah imej wajah seorang wanita yang dicat dengan warna putih dengan darah merah yang mengalir dari hidungnya bagi melambangkan bendera England.


Selain England, JWT turut menerbitkan poster dengan wajah atau anggota badan wanita yang diwarnakan mengikut negara-negara lain yang menyertai Piala Dunia termasuk German, Perancis dan Belgium.

Poster-poster ini dikongsi sebelum perlawanan setiap negara yang terlibat agar kesedaran dalam kalangan peminat bola sepak dapat ditingkatkan.




Memetik laporan The Independent, Pengarah Kreatif JWT Jo Wallace berkata mereka mahu mencuri perhatian wanita yang selalunya menjadi peneman peminat-peminat bola sepak lelaki menonton perlawanan Piala Dunia.

“Aspek kesan permainan bola sepak yang tidak ramai tahu akhirnya diberi perhatian dalam kempen ini.

"Kami melihat statistik mengenai penderaan ini dan terus memulakan kempen ini untuk mencuri perhatian wanita-wanita yang menjadi mangsa supaya mereka boleh segera mendapatkan bantuan sewaktu musim Piala Dunia,” kata Wallace.


Kempen yang mula menjadi viral di media sosial ini turut mengundang kecaman daripada kaum lelaki yang berkata penderaan domestik sewaktu musim Piala Dunia mempunyai kaitan dengan kadar pengambilan minuman keras yang meningkat dan perjudian. 


 

Komen-komen negatif tersebut menyebabkan ramai mangsa-mangsa penderaan domestik berkongsi kisah benar mengenai penderaan yang dialami mereka sewaktu musim Piala Dunia.  

England yang akan bertemu Croatia awal pagi esok mempunyai peluang untuk layak ke perlawanan akhir Piala Dunia setelah kali terakhir berbuat demikian pada tahun 1966 apabila menang menentang Portugal dengan keputusan 2-1.

Sementara itu, Perancis pula mara ke perlawanan akhir apabila mengalahkan Belgium 1-0 dalam perlawanan pada pagi Rabu.