Kira-kira 4,000 anggota polis akan ditugaskan di dalam dan di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Agung di Chaengwattana di sini pada Jumaat ini apabila mahkamah menyampaikan keputusan kes kontroversi melibatkan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

Ketua Polis Bangkok Lt. Jen Sanit Mahathavorn berkata pasukan itu akan mengerahkan 24 kompeni polis untuk menjaga keselamatan awam pada hari berkenaan.

"Kami akan adakan tiga pusat pemeriksaan di pintu masuk kompleks kerajaan Chaengwattana bagi menjaga keselamatan awam," katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat keselamatan mengenai persediaan untuk hari berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Jen. Srivara Rangsibrahmanakul di Polis Metropolitan Bangkok di sini.

Beliau berkata penyokong bekas perdana menteri itu tidak akan dibenarkan memasuki perkarangan mahkamah pada hari berkenaan atas faktor keselamatan.

Keputusan polis itu tidak akan diterima baik oleh ribuan penyokong Yingluck yang merancang berhimpun di kompleks mahkamah pada Jumaat ini sebagai tanda sokongan moral kepada beliau apabila Bahagian Jenayah untuk Pemegang Jawatan Politik di Mahkamah Agung menyampaikan keputusan yang ditunggu-tunggu tersebut.

Penyokong Yingluck mengkritik keputusan kerajaan untuk menghalang mereka daripada berhimpun di mahkamah dengan menyifatkan pihak berkuasa "bersikap keterlaluan".

Bekas perdana menteri itu yang digulingkan oleh tentera pada 2014 dituduh cuai dalam pelaksananaan skim subsidi padi yang didakwa oleh kerajaan sekarang telah menyebabkan negara itu kerugian berbilion Baht.

Jika didapati bersalah Jumaat ini, beliau boleh dipenjara sehingga 10 tahun. Yingluck merupakan adik perempuan seorang lagi bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra yang kini hidup dalam buangan.

Sementara itu, Srivara berkata kerajaan tidak pernah melarang penyokong bekas perdana menteri itu ke kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan namun kehadiran mereka tidak boleh menjadi perhimpunan politik atau melanggar sebarang undang-undang.

"Kerajaan tidak pernah melarang orang ramai untuk datang (ke mahkamah dan tunjukkan sokongan kepada Yingluck), namun jika mereka datang mereka mesti patuhi undang-undang," katanya yang turut memberi amaran mereka yang melanggar undang-undang akan berdepan tindakan polis.

-- BERNAMA