BAGI memastikan keselamatan pejalan kaki terjaga, terutamanya yang asyik menatap telefon pintar, pihak berkuasa New South Wales, Australia kini merancang untuk memasang lampu isyarat di paras jalan di lintasan utama di Sydney mulai Disember.

Tindakan ini diambil susulan ketagihan telefon pintar dalam kalangan rakyatnya, sehingga ada antara mereka yang enggan melihat lampu isyarat ketika melintas kerana sibuk memandang kaca telefon pintar.

Menurut portal Mashable Asia, kerajaan negeri akan melaksanakan lampu isyarat percubaan selama enam bulan dengan kos sebanyak AUS$250,000 (RM752,600).

"Pejalan kaki kurang dilindungi daripada nahas jalan raya, oleh itu mereka lebih cenderung untuk mengalami kecederaan parah atau terbunuh.

“Ini adalah sebab kita perlu mewujudkan satu sistem jalan raya yang lebih selamat dan ini merangkumi situasi apabila mereka tidak boleh memberi perhatian," kata Pengarah Eksekutif Keselamatan Jalan Raya, Bernard Carlon.

Tapak untuk lampu isyarat masih belum diumumkan, tetapi ia dijangka akan dipasang di lima tempat di daerah pusat perniagaan di Sydney.

Inisiatif ini telah diumumkan sebagai sebahagian daripada kempen pengiklanan ‘Towards Zero’, yang bertujuan mengetengahkan kesan manusia daripada kemalangan dan kemalangan maut.