Ketua Menteri Karnataka Siddaramiah menyerahkan jam tangan mewah Hublot berharga 70 lakh rupee (kira-kira RM466,666) kepada kerajaan negeri berikutan dakwaan bahawa ia adalah jam tangan yang dicuri.

Selepas kecewa dengan dakwaan itu, ahli politik dari Parti Kongres itu menyerahkan jam tangan dan dokumen kepada speaker semasa persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Siddaramiah menegaskan bahawa jam tangan itu adalah hadiah daripada rakannya, seorang doktor yang berpusat di Dubai dan akan mengisytiharkannya harta negeri dan membayar duti kastam untuknya.

Semalam, ahli politik veteran itu dipanggil oleh presiden parti Sonia Gandhi ke Delhi untuk memberi penjelasan berhubung isu itu.

Media tempatan membangkitkan isu itu selepas seorang doktor mendakwa bahawa tiga daripada jam tangan mewahnya hilang dan bahawa polis gagal untuk bertindak terhadap laporannya.

Bekas Ketua Menteri Jagadish Shettar mendakwa bahawa polis telah menemui sebuah daripada jam tangan tersebut dan seorang pegawai kanan polis kemudian menyerahkannya kepada Siddaramiah untuk mendapat perhatiannya.

Siddaramiah juga cuba menangani protes BJP dengan menyatakan bahawa Perdana Menteri Narendra Modi telah memakai pakaian mahal bernilai 10 lakh rupee (kira-kira RM66,666) tahun lepas.