Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyelar negara Arab yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan menuduh mereka bertanggungjawab ke atas serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 nyawa pada Sabtu.

Lebih 60 lain cedera dalam insiden tersebut di mana kebanyakan mereka merupakan anggota elit Pengawal Revolusi negara itu.

Susulan kejadian, Khamenei telah mengarahkan pasukan keselamatan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Beliau juga menyifatkan insiden itu sebagai serangan terburuk terhadap Pengawal Revolusi yang merupakan angkatan tentera bersenjata paling berkuasa di Iran.

BACA: 24 maut dalam serangan perarakan tentera Iran

Tuduhan itu dijangka akan menegangkan lagi hubungan dengan seteru Iran, Arab Saudi, termasuk beberapa negara sekutu Arab yang kini bekerjasama dengan Amerika Syarikat untuk mengasingkan Tehran.

"Jenayah ini merupakan plot berterusan negara serantau yang menjadi boneka Amerika Syarikat, dan matlamat mereka adalah untuk mencetuskan keadaan tidak stabil dalam negara tercinta kita ini," kata Khamenei dalam satu kenyataan di laman web miliknya.

Namun beliau tidak menamakan negara serantau yang dituduhnya itu.