Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un berpuas hati dengan kejayaan ujian enjin tujahan tinggi baharu yang dibangunkan di stesen pelancaran roket Tongchang-ri.

Jong Un menyifatkan kejayaan itu sebagai satu 'kelahiran baharu' bagi industri roket, lapor media rasmi negara itu Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), pada Ahad.

Dalam laporan KCNA menyebut bahawa enjin itu bakal membantu Korea Utara mencapai keupayaan melancarkan satelit bertaraf dunia.

Ujian itu juga mungkin menunjukkan indikasi enjin baharu bagi roket peluru berpandu jarak jauh.

"Jong Un berkata, kejayaan yang dicapai dalam ujian terkini melakarkan satu peristiwa penting dalam sejarah. Beliau turut mengisytiharkan kelahiran baharu industri roket yang berpangkalan di Juche (ideologi tempatan Korea Utara)," lapor KCNA.

Menurut KCNA, Jong Un turut menegaskan bahawa seluruh dunia bakal menjadi saksi peristiwa penting yang bakal melakar satu kejayaan besar.

Pada masa sama, pemimpin kuku besi itu turut mengesahkan Korea Utara telah bersedia untuk melancarkan ujian peluru berpandu balistik rentas benua.

Susulan tindakan Korea Utara, Amerika Syarikat (AS) dan China berikrar untuk bekerjasama bagi memastikan negara itu 'mengubah haluan' dan menghentikan program senjatanya, selepas Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson mengadakan pertemuan dengan China, pada Sabtu.