Setakat Isnin, bandar raya terbesar di wilayah Victoria, Melbourne, merekodkan 940 kes positif COVID-19.

Portal tempatan, 7news melaporkan wabak pandemik itu dalam sekelip mata mengubah wajah kehidupan masyarakat Melbourne yang meliputi kira-kira 19 peratus daripada populasi keseluruhan Australia itu, apabila kira-kira 5,224 penduduk di pinggir bandar itu kehilangan pekerjaaan.

Berkongsi situasi semasa di Melbourne pada ketika ini, chef bertauliah rakyat Malaysia, Grace Amiyaa memberitahu, penularan COVID-19 telah membataskan pergerakan dan aktiviti penduduk di situ apabila kebanyakan premis perniagaan di kawasan itu terpaksa ditutup yang menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan.

Pun begitu, anak kelahiran Perak itu meminta orang ramai supaya tidak berasa tertekan dan terus kekal positif.

"Ingat kita tidak keseorangan, kita adalah wira-wira yang berjuang menentang COVID-19 sebagai satu dunia," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.



Menurut Grace, kerajaan Australia menjangkakan situasi COVID-19 ini berkemungkinan akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk pulih sepenuhnya.

Beliau memberitahu, bilangan kes positif di negara itu semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan ekoran itu kerajaan melaksanakan perkawalan tahap ketiga pada minggu lalu.

"Seperti negara-negara lain, semua premis diarah ditutup melainkan kategori kritikal. Sebarang perhimpunan yang melebihi dua orang juga adalah dilarang sama sekali.

"Pun begitu, kerajaan membenarkan seorang menemani wanita mengandung atau orang kurang upaya (OKU)," katanya.

Menariknya, Grace memberitahu, sebagai mengisi masa lapang di rumah ketika tempoh kawalan sekatan ini, beliau memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya sebagai chef untuk berkongsi resipi dengan rakan-rakan di media sosial.

Secara keseluruhan setakat Isnin, Australia mencatatkan 5,895 kes positif COVID-19 dengan 46 kematian.