Nama anggota Parlimen pembangkang daripada Parti Gerindra, Aryo Djojohadimusumo kembali menjadi perhatian apabila beliau dituduh terlibat dalam satu klip video lucah yang kini tersebar di Internet.

Dalam klip berdurasi 2 minit 35 saat itu, lelaki didakwa sebagai Aryo dilihat melakukan aksi intim bersama pasangannya sambil perbuatan tidak bermoral itu dirakam seorang lagi wanita.

Sehingga kini, Aryo masih berdiam diri dan enggan membuat laporan polis.

Mengulas kontroversi tersebut, Ketua Bidang Advokasi Dewan Pimpinan Pusat (PPP) Parti Gerindra, Habiburokhman berkata ia sebenarnya isu lama yang sengaja ditimbulkan.

Beliau sendiri menegaskan bahawa pemuda dalam video tersebut bukanlah anggota Parti Gerindra.

"Menurut kami, lelaki dalam video itu bukan Pak Aryo. Zaman sekarang teknologi sudah maju dan semua itu boleh diedit dan dibuat-buat," katanya.

Justeru, beliau menggesa Kementerian Komunikasi dan Maklumat (Kominfo) mengambil tindakan dalam kes tersebut.

"Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan," ujar Habiburokhman.

Ditanya sama ada pihak parti akan melaporkan perkara itu kepada polis, Habiburokhman memberi jawapan tunggu dan lihat kerana akan menyelidik dan memantau isu tersebut dengan teliti. - Detik.com