Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, yang tiba di Yangon semalam, dijadual mengadakan perbincangan dengan Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi hari ini, berhubung laporan akhir suruhanjaya siasatan mengenai Rakhine.

Kofi Annan merangkap Pengerusi Suruhanjaya Penasihat yang dilantik Myanmar, sementara Aung San Suu Kyi mengetuai Jawatankuasa Pusat Pelaksanaan Perdamaian, Kestabilan dan Pembangunan Rakhine.

Kementerian Penerangan berkata, laporan akhir itu antara lain, mengandungi penilaian dan cadangan untuk kerajaan mengenai pencegahan konflik, bantuan kemanusiaan, perdamaian antara komuniti Buddha dan Islam.

Selain itu, laporan turut merangkumi aspek pembinaan semula institusi dan mengalakkan pembangunan di Rakhine, lapor agensi berita China Xinhua.

Suruhanjaya Kofi Annan mengemukakan laporan interim dan cadangan mengenai isu serantau kepada kerajaan pada Mac dengan 30 cadangan menyeru kerajaan melaksanakan perkara berkaitan kewarganegaraan, bantuan kemanusiaan, isu sempadan dan hubungan dua hala dengan Bangladesh.

Annan melawat Rakhine penghujung tahun lepas untuk menghasilkan laporan berkenaan.

Suruhanjaya penasihat sembilan anggota dibentuk Myanmar pada Ogos lepas, bertujuan menyelesaikan isu serantau yang berlarutan di Rakhine.

-- BERNAMA