Satu letupan dilaporkan berlaku di kompleks mahkamah di Athens, Greece, pada awal pagi Jumaat, memecahkan tingkap dan merosakkan dinding bangunan itu.

Kejadian berlaku beberapa jam selepas Parlimen mengundi untuk mengenakan hukuman terhadap individu yang mengadakan tunjuk perasaan di luar mahkamah terbabit sebelum ini.

Laporan awal polis menyebut penyerang telah melepaskan tembakan ke arah polis yang berkawal sebelum letupan berlaku.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Pemeriksaan lanjut polis menemui sebuah van yang digunakan penyerang tidak jauh dari lokasi kejadian.

Buat masa ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.

Sidang Parlimen pada Khamis meluluskan perintah baharu yang membolehkan penalti dikenakan ke atas individu penunjuk perasaan yang sering berkumpul di luar kompleks mahkamah.

Bagi penunjuk perasaan, lelongan rumah yang dibuat mahkamah tidak memihak kepada pemilik yang berdepan masalah kewangan.