Seorang guru agama terkenal di Singapura didakwa di mahkamah pada Jumaat atas tuduhan menipu pakej haji bagi jemaah tempatan.

Fahrorazi Sohoi, 47, didakwa telah memperdaya Mohammad Farehan Mohammad Hussein untuk membayar kepadanya sejumlah S$1,550 (RM4,630) bagi pembelian pakej haji VIP atas undangan Kedutaan Arab Saudi.

Mohammad Farehan ialah salah seorang daripada lebih 80 mangsa yang diperdaya dengan cara yang sama oleh Fahrorazi, lapor potal berita Channel NewsAsia.

Kesemua mangsa telah membayar nilai berjumlah S$98,250 (RM293,600) untuk pakej haji yang ditawarkan itu.

Fahrorazi, yang juga dipanggil sebagai ‘Ustaz Fahrurazi Kiayi Kassim’ oleh komuniti Islam tempatan, ditahan pada Rabu selepas laporan polis dibuat oleh mangsa.

Mangsa yang ditipu itu dijadualkan untuk berlepas pada Khamis lalu, namun langsung tidak menerima sebarang pengesahan penerbangan dan butiran visa.

Mereka juga telah menyerahkan pasport masing-masing kepada Fahrorazi, yang menguruskan agensi pelancongan, supaya dapat menempah slot bagi ibadah tersebut.

Polis telah menemui beberapa pasport Singapura dan wang tunai berjumlah S$196,950 (RM588,540).

Kes itu mengejutkan ramai pihak kerana Fahrorazi sebelum ini dikenali dengan kuliah agamanya yang dikendalikan sejak tahun 1995, dan pernah menarik kedatangan belasan ribu khalayak untuk mendengar ceramahnya.

Dia juga adalah anak kepada Kiayi Kassim Adnan iaitu tokoh agama terkenal yang banyak mengajar pendakwah-pendakwah agama lain di republik itu.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan didenda.