SENJATA kimia seperti gas sarin merupakan kategori senjata kimia dan biologi yang sangat merbahaya dan diharamkan sepenuhnya oleh Konvensyen Geneva pada tahun 1997.

Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai pengharamkan senjata kimia dan biologi ini telah bermula sejak tahun 1925 di dalam Protokol Geneva. Namun, pada zaman moden hari ini, masih ada yang sanggup menggunakan senjata kimia dan biologi demi memenuhi sifat tamak dan gila kuasa.

Sebelum perbincangan lebih jauh, artikel ini tidak bertujuan mencari salah Syria, Russia atau Amerika Syarikat sebagai pencetus konflik, sebaliknya artikel ini ingin membincangkan bagaimana satu tindakan tidak bijak akan memberi implikasi negatif yang tragik. Di mana akhirnya, rakyat biasa yang lemah dan tidak berdaya menjadi mangsa kerakusan politik dan kuasa.

Laporan berita mengenai serangan roket mengandungi gas sarin pada 4 April 2017 menyaksikan lebih 70 kematian dan 300 yang lain cedera di kawasan Khan Sheikhoun di daerah Idlib Utara, Syria. Mangsa terdiri dari kanak-kanak, bayi dan orang dewasa.

Foto-foto mangsa tersebar dalam media sosial dan ia telah menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa. Kerajaan rejim Bashar Al Assad dituduh menjadi dalang kepada serangan ini. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menunding jari kepada Iran dan Rusia sebagai perencana disebalik rangkaian serangan kejam ini.

Laporan media menyebut Assad walau bagaimanapun mengaku tidak terlibat dalam serangan gas sarin.

Berita lain menyatakan bahawa Assad telah pun mengisytihar untuk tidak menggunakan senjata kima sejak empat tahun yang lalu. Kenyataan Assad sukar dipercayai kerana pada tahun 2013 sebuah insiden yang dikenali sebagai ‘Ghouta Chemical Attack’ telah membunuh sekitar 280 hingga 1700 rakyat Syria.

Laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula mendapati sepihan roket jenis darat-ke-darat milik rejim Assad yang digunakan untuk mengebom kawasan Ghouta mengandungi bahan kimia gas sarin. Laporan itu juga menyatakan bahawa tragedi di Ghouta sebagai ‘State-Sponsored Attack’.

Campur tangan oleh bahagian perisikan dari pelbagai negara dunia juga berlaku.

Bahagian perisikan Jerman, Israel, Perancis, Turkey, United Kingdom, dan Amerika Syarikat dalam laporan mereka menyebut bahawa rejim Assad menggunakan gas sarin dalam serangan di Ghouta, manakala kerajaan Rusia tidak bersetuju dengan tuduhan ini dan menyebut kumpulan penentang kerajaan Assad yang sebenarnya menggunakan Gas Sarin untuk memaksa intervensi kuasa-kuasa luar.

Laman web yang berpangkalan di Quebec, Canada iaitu Centre for Research on Globalization melalui artikel bertajuk Pentagon Trained Syria’s Al Qaeda “Rebels” in the Use of Chemical Weapons, menulis bahawa Amerika Syarikat adalah dalang disebalik serangan kimia kerana telah melatih pengganas Al-Qaeda menggunakan senjata kimia terhadap rakyat Syria.

Sebenarnya amat sukar untuk melihat apa sebenar-benarnya yang berlaku di Syria. Jarak ribuan kilometer dari Malaysia ke Syria menyebabkan kita perlu bergantung pada kandungan berita yang ada pada kita untuk memahami segalanya.

Tapi apakah yang kita fahami itu meliputi keseluruhan realiti yang terjadi di Syria hari ini? Sejujurnya tidak.

Alfred Kozybsky dengan konsep the map is not the territory atau peta tidak menggambarkan keadaan sebenar boleh digunakan untuk memahami pemahaman kita tentang konflik di Syria. Longgokan laporan berita di hujung jari yang komprehensif hanya mampu membentuk sebuah peta yang menerangkan keadaan di Syria secara simbolik.

Akan tetapi keadaan sebenar di Syria hanya Assad dan rakyat Syria yang masih tinggal di sana mengetahui. Oleh demikian, kita tidak boleh membentuk kesimpulan atau andaian yang mungkin tidak benar.

Tapi apa yang kita boleh katakan adalah konflik di Syria ini wujud kerana ada segelintir rakyat Syria yang lebih aman dan tenteram apabila mengangkat senjata dan melawan rejim Bashar Al Assad daripada hidup berpura-pura bahagia. Fenomena ini memerlukan satu tahap kebencian yang betul-betul kukuh untuk membenci Assad dengan sebenci-bencinya sehingga tiada jalan ke arah perdamaian mampu dicapai selagi Assad berkuasa.

Syria sudah menjadi medan pertempuran ‘Free-for-All’. Semua unit bersenjata dari militia, rebel, pejuang kebebasan, pengganas antarabangsa dan rejim kerajaan mengacu senjata ke semua arah 360 darjah. Persoalan siapa musuh, siapa kawan dan siapa lawan berselirat dalam jejaring konflik berdarah yang tidak nampak jalan berkesudahan.

Hari ini, 7 April 2017, Amerika Syarikat telah memberi amaran keras ke atas rejim Assad dengan melancarkan 60 peluru berpandu krus Tomahawk ke arah lapangan terbang al-Shayrat milik tentera udara Syria di Homs. Gabenor Homs iaitu Talal Barazi mengesahkan kepada The Associated Press mengenai serangan itu dan menyatakan ada kematian.

Antara objektif serangan ini adalah untuk memusnahkan jet pejuang yang menjadi alat membawa senjata kimia tersebut. Amerika Syarikat juga telah memberitahu pihak perisikan Rusia mengenai serangan ini agar tiada asset atau tentera milik tentera Rusia berada di kawasan serangan.


Persoalan yang bermain seterusnya adalah, apakah pendirian Assad mengenai situasi ini. Jika diselidik, Syria bukan lagi seperti dahulu, keamanan sudah jauh dari menjadi topik di meja perbincangan. Pelarian Syria bertebaran di kem-kem pelarian. Pengganas Seperti Daesh dan Taliban menguasai beberapa tempat dengan senjata dan kekejaman. Saban hari ada sahaja pertempuran dan ada sahaja laporan kematian.

Konflik berdarah di Syria terus mendapat perhatian masyarakat dunia. Serangan peluru berpandu ini telah membuka lembaran baru dalam fasa konflik di Syria.

Hari ini kita melihat campurtangan oleh Uncle Sam lebih straightforward dan terbuka. Kemampuan ketenteraan Amerika Syarikat untuk melancarkan serangan ke atas kawasan strategik tidak dapat dinafikan. Satelit dan radar tentera Amerika Syarikat contohnya mampu memusnahkan sasaran dari jauh.

Cuma apa yang Amerika Syarikat tidak mampu buat adalah meletakkan jaminan kepada askar infantri miliknya untuk mencari dan memusnahkan sasaran pengganas secara surgical. Taktik sama iaitu melatih rakyat tempatan menjadi pilihan utama, sama seperti melatih pejuang Hmong untuk menentang Vietnam Utara dan Mujahideen untuk melawan Kesatuan Soviet, Amerika pasti akan melatih rakyat tempatan Syria untuk menjadi askar suruhan mereka.

Asasnya, Amerika Syarikat sedar nyawa rakyat Amerika Syarikat terlalu mahal dan falsafah Sun Tzu iaitu know your enemy, know yourself menjadi pedoman peperangan mereka. Lagipun, Amerika Syarikat tidak gemar melihat berita-berita yang bakal menunjukkan kematian askar mereka lalu ia akan menjadi propaganda pihak anti Amerika Syarikat untuk menunjukkan orang putih tidaklah hebat mana pun.

Intervensi ketenteraan oleh Amerika Syarikat di Vietnam, Iraq dan Afghanistan menyaksikan kehilangan nyawa tentera terbaik mereka. Dalam Operation Red Wing pada 2005 contohnya, menyaksikan 20 orang askar elit terdiri dari Navy Seals dan Night Stalkers Amerika Syarikat dibunuh oleh militan Taliban apabila mereka cuba menyusup masuk ke kawasan yang diketuai oleh Ahmad Shah.

Sebuah helikopter juga musnah dalam kejadian tersebut. Insiden ini membuka mata Amerika Syarikat untuk berfikir dua kali jika hendak mempetaruhkan nyawa askar mereka dalam operasi-operasi ketenteraan akan datang. Alat komunikasi canggih dan system persenjataan hebat terbukti mampu gagal dalam situasi yang mencabar seperti insiden Operation Red Wing.

Oleh itu, selain dari serangan jarak jauh menggunakan peluru berpandu, melatih rakyat tempatan menjadi askar lebih baik kerana ia dapat mengelakkan kematian di kalangan askar Amerika Syarikat.

Konflik di Syria kompleks kerana wujud pihak bersenjata dari pelbagai penjuru. Iran dan Rusia memainkan pula peranan dibelakang takbir. Apa pun yang jelas, dengan kuasa veto dan kekuatan tentera yang ada pada Rusia dan Amerika Syarikat, mereka tidak mahu menggunakan kekuatan ini untuk mempercepat proses damai di Syria. Atau apakah serangan peluru berpandu Tomahawk langkah pertama ke arah perdamaian?

Konflik berdarah akan berpanjangan selagi pembekalan senjata dan peluru dilakukan oleh pihak tertentu. Senjata jenis M16 dan Ak-47 bertebaran di Syria dan yang paling hairan, bekalan peluru untuk kedua-dua jenis senjata api ini berterusan. Mungkin ada kilang membuat peluru di Syria atau mungkin sumbangan oleh negara-negara yang mahukan konflik ini berterusan.

Jelas juga, masa untuk Assad berkuasa di Syria semakin suntuk dan pendek. Lambat laun konflik berdarah ini akan menjatuhkan Assad. Hari ini pun, imej Assad sudah pun jatuh dan buruk. Dari meja kopi hingga ke meja perbincangan antarabangsa, semua orang mengutuk Assad. Assad sebenarnya sudah hilang kuasa dalam bentuk pengaruh kerana beliau gagal mewujudkan keamanan di Syria.

Sebuah operasi perang saraf dan gerak saraf global sedang menyelubungi Assad dan dia tersepit dalam lautan maklumat negatif mengenai dirinya.

Selain itu, tindakan Assad menggunakan kekerasan tentera terhadap pihak yang tidak berpuas hati yang terdiri dari rakyat marhaen telah memanjangkan tempoh konflik ini. Perasaan marah dan tidak berpuashati menjadi bahan api yang membakar kebencian terhadap Assad. Persoalannya sampai bila Assad mampu bertahan? Dan sejauh mana kejujuran pihak Rusia dalam membelakangi Assad dalam kancah politik berdarah hari ini?

Selain dari apa yang kita nampak melalui bacaan informasi berita di media belum cukup untuk kita meletakkan apa-apa kesimpulan. Pelarian Syria sendiri pun terpinga-pinga dengan apa yang telah terjadi kepada negara mereka yang suatu ketika dahulu aman damai dengan tiba-tiba menjadi kancah konflik berdarah paling dashyat di abad ini.

Cuma apa yang mampu kita buat adalah mendoakan agar Syria kembali aman dan tiada lagi pertumpahan darah rakyat Syria yang tidak berdosa. Sesiapa pun yang menjadi dalang menggunakan gas sarin untuk membunuh rakyat Syria adalah satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan dan mereka perlu dibawa ke muka pengadilan.

Bagi Amerika Syarikat pula, ini adalah permulaan kepada Donald Trump dalam membuat keputusan yang terbaik dalam menangani konflik di Syria. Trump mempunyai kemampuan untuk mengembalikan keamanan di Syria, jika dia bersungguh-sungguh mahu.

Jika matlamat menghalalkan cara, biarlah matlamat itu menjurus kepada keamanan di Syria dan cara yang terbaik adalah tanpa pertumpahan darah atau penggunaan senjata kimia seperti gas sarin.



* Artikel ini ditulis oleh Dr. Ahmad Sauffiyan Abu Hasan. Beliau ialah pensyarah Pusat Penyelidikan Impak Media dan Industri Kreatif, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.