Tragedi Deir Yassin, An-Nakbah pada 1948, An-Naksah (1967), Sabra Shatila (1982) dan ratusan lagi siri keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin bukanlah lagi satu rahsia.

Namun demikian masyarakat antarabangsa hanya mampu melihat, mengutuk atau bersimpati dengan nasib malang yang terus menimpa rakyat Palestin.

Siri jenayah ini akan berterusan selagi kuasa-kuasa besar dunia menjadi tunggangan pertubuhan Zionis sedunia, kata Perunding 'Aman Palestin' Dr Zainur Rashid Zainuddin.

Walaupun ada bibit-bibit kebangkitan umat Islam, terutama di Malaysia, dalam memerangi kekejaman rejim Zionis, namun menurut beliau, masih ramai lagi umat Islam, yang naif terhadap isu Palestin, yang merupakan isu terbesar umat Islam pada abad ini.

"Setiap kali berlakunya serangan di Gaza dan di Tebing Barat, maka masyarakat antarabangsa dan umat Islam pastinya akan bangkit melakukan protes jalanan terhadap kekejaman itu.

"Tetapi selepas itu, semuanya akan kembali senyap, termasuklah umat Islam sendiri," katanya dalam temubual dengan Bernama.

Terdapat kira-kira 12,000 rakyat Palestin yang masih merengkuk dalam penjara di Israel termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua. Ramai yang dipenjarakan tanpa sebab.

"Mereka telah ditahan selama lima tahun atau ada yang lebih lama daripada itu," kata Dr Zainur, yang juga pakar perunding Onstetrik dan Ginekologi Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban.

Pembelajaran secara rasmi atau formal dalam suasana yang aman dan kondusif adalah sesuatu yang sukar untuk dirasai oleh anak-anak Palestin.

Kebanyakan sekolah mempunyai struktur yang paling asas sama ada dibiayai oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Berstau (PBB) ataupun oleh rakyat Palestin sendiri.

"Mereka berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga pengajar dan infrastruktur bagi menampung jumlah pelajar yang ramai. Sebahagian daripada mereka juga masih lagi menghadiri sesi pembelajaran di kem-kem pelarian dan sekolah-sekolah sementara," jelas Dr Zainur.

Menurutnya, kepayahan ini ditambah dengan larangan pihak Israel untuk mereka melanjutkan pengajian ke universiti Israel menyebabkan perkembangan pembelajaran mereka hanya di dalam lingkungan Gaza dan Tebing Barat.

Manakala keadaan ekonomi di Palestin pada waktu kini berada pada tahap kritikal kerana sekatan ekonomi oleh Israel telah menyebabkan rakyat Palestin hanya berpeluang bekerja sebagai tenaga buruh.

"Di Gaza, pihak Israel hanya membuka pintu sempadan Rafah pada hari Selasa sahaja dan rakyat Palestin mempunyai satu hari untuk membawa masuk sumber bahan perniagaan dari Mesir dan negara lain, menyebabkan sumber bahan ekonomi adalah terhad," katanya.

Dan lebih 40 peratus rakyat Palestin, terutama di Gaza, menganggur dan bergantung kepada sumbangan badan-badan kebajikan bukan kerajaan seperti Islamic Relief (UK), IHH Turki, Jami'ah Khairiah (Mercy Kuwait) dan Aman Palestin Malaysia.

Sheikh Raed Solah, pengasas 'Palestin 48', berkata, isu Al-Quds dan Al-Aqsa bukanlah isu yang bermusim kerana terdapat usaha berterusan di serata dunia untuk mengetengahkan ia sebagai isu utama dalam kalangan komuniti Islam di dunia.

Sheikh Raed, yang tinggal di Ummu AL-Fahm, yakin Masjidil Aqsa akan pasti kembali kepada umat Islam berdasarkan kepada dua senario.

Pertamanya, sehingga kini, rejim Zionis dan kuasa-kuasa besar dunia gagal untuk menjadikan isu Masjidil Aqsa sebagai isu dalaman Palestin. Umat Islam masih ada kesedaran dan masih lagi menyatakan bahawa isu ini adalah isu umat Islam di seluruh dunia.

Beliau juga berkata bahawa hal ini telah menjadi satu sumber kekuatan kepada rakyat Palestin dan umat Islam, untuk terus berjuang memerangi dan menggagalkan segala perancangan rejim Zionis.

Senario kedua ialah kegagalan kuasa-kuasa Barat untuk menyekat kebangkitan rakyat, khususnya di negara-negara Arab, apabila pemerintah-pemerintah 'ciptaan' mereka sebelum ini telah jatuh daripada tampuk pemerintahan.

Keadaan juga telah berubah apabila berlaku revolusi di negara-negara Arab yang menyaksikan rakyat bangkit menentang pemerintahan yang kejam dan rakyat pula mendapat hak mereka. Pastinya penyatuan umat Islam di tanah Arab akan berlaku dan mereka akan bersatu berjuang untuk pembebasan Palestin, jelasnya lagi.

Ketua Gerakan Islam itu turut menyatakan bahawa rejim Zionis telah membuat satu tanggapan yang salah kerana menyangka akan hanya berhadapan dengan kerajaan Palestin, yang mana ia sama sekali meleset.

Hakikatnya, mereka kini bukan sahaja berhadapan dengan penentangan daripada rakyat Palestin, malah turut berdepan dengan kebangkitan umat Islam di tanah Arab dan seluruh dunia.