Kumpulan penentang anti kerajaan Syria di Arbin, Timur Ghoutah, Faylaq al Rahman bersetuju untuk meletak senjata dan dibawa keluar dari kawasan berkenaan.

Perkara itu dicapai selepas rundingan diadakan dengan sekutu kuat regim Bashar al Assad, Rusia.

Mengikut persetujuan yang disepakati, kumpulan pejuang bersama 7,000 orang awam di Zamalka, Arbin dan Ain Tarma akan dipindahkan bermula pada Sabtu, jam 9 pagi waktu tempatan.

Proses pengunduran ini adalah kali kedua berturut-turut di Timur Ghoutah selepas Ahrar al Sham, yang menguasai Harasta telah bersetuju berbuat demikian.

TRT World melaporkan rundingan yang sama sedang diadakan dengan saki baki kumpulan lain yang masih menguasai Douma.

Sementara itu, Rusia dituduh bertanggungjawab melancarkan serangan udara yang mengorban lebih 37 nyawa di Arbin, Timur Ghoutah pada Khamis dan Jumaat.

Dakwaannya dibuat Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) berdasarkan corak penerbangan, model pesawat serta bahan letupan yang digunakan.

"Serangan udara dan penggunaan bahan letupan membunuh orang awam kerana terbakar dan kelemasan di ruang bawah bangunan," Ketua SOHR, Raami Abdel Rahman.

Menurut satu lagi badan kemanusiaan White Helmets, kebanyakan mangsa yang cedera terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dan imej mereka yang rentung yang dibawa keluar pasukan mencari dan menyelamat kemudia dikongsi di laman-laman sosial.

Serangan rejim Bashar ke atas bandar Arbin reda selepas kumpulan penentang Faylaq al Rahman mengumumkan persetujuan gencatan senjata pada jam 10 malam waktu tempatan, semalam.