Seoul sedang cuba mendapatkan penyanyi Gangnam Style, Psy, untuk membuat persembahan di Pyongyang, yang turut dibarisi beberapa lagi bintang K-Pop Korea Selatan.

Konsert di ibu negara Korea Utara itu nanti dianggap suatu sejarah baharu – bukan saja yang pertama seumpamanya dalam tempoh lebih sedekad, malah penganjuran acara hiburan itu menjadi sebahagian daripada perancangan penyatuan budaya dua negara tersebut menjelang persidangan besar pada April ini.

Setakat ini sembilan nama besar dalam industri K-Pop sudah disahkan ke Korea Utara minggu depan untuk melangsungkan dua konsert di Pyongyang.

Antara yang terlibat adalah kumpulan popular, Red Velvet.

Seoul bagaimanapun mahukan Psy terlibat dalam konsert tersebut, memetik laporan beberapa media tempatan dan juga sumber dari industri hiburan.

Penyanyi berusia 40 tahun tersebut telah mencetus sensasi global pada tahun 2012 menerusi video muzik Gangnam Style yang tular di YouTube hingga mencatatkan berbilion-bilion tontonan.

“Kami telah membuat cadangan secara rasmi kepada Korea Utara untuk menyertakan Psy dalam senarai artis yang membuat persembahan,” ujar sumber rasmi kerajaan Seoul, seperti yang dilapor MBC TV pada Ahad.

Bagaimanapun, Pyongyang menolak idea tersebut, dengan memberi alasan rakyat Korea Utara yang konservatif belum tentu dapat menerima aksi persembahan penyanyi itu.

Psy dalam persembahan pentas di Korea Selatan sebelum ini pernah beraksi tanpa baju di atas pentas, selain lirik lagunya yang mengandungi kata-kata carutan dalam bahasa Korea.

Di Korea Utara, penontonnya menyaksikan konsert pop dalam keadaan duduk dan tertib, walaupun ketika menonton persembahan kumpulan wanita terkenal, Moranbong.

Konsert K-Pop yang bakal berlangsung itu adalah sebahagian daripada perjanjian rentas sempadan pada awal bulan ini, apabila perwakilan Seoul bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dalam usaha menuju dialog keamanan setelah berbulan-buan lamanya hubungan kedua-dua negara itu dalam situasi tegang.