Di sebalik perkembangan positif di semenanjung Korea, Korea Utara masih dianggap satu ancaman kepada keamanan dunia.

Duta United Kingdom ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Jonathan Allen menyifatkan program nuklear Pyongyang masih aktif dan kekal satu ancaman.

"Ketika kami mengalu-alukan kesediaan Pyongyang mengadakan rundingan dengan Korea selatan, hakikat yang tidak berubah adalah program nuklear mereka masih aktif,

"Ia sebenarnya masih dianggap ancaman kepada keselamatan dan kemananan komuniti antarabangsa,"jelas Allen dalam satu pertemuan dengan media sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan PBB.

Korea Utara bersetuju menghantar delegasi untuk menyertai temasya Sukan Olimpik musim sejuk di PyeongChang.

Dua Korea juga bersetuju mengadakan rundingan peringkat tentera bagi mengurangkan ketegangan yang berpanjangan di semenanjung Korea sebelum ini.

Pyongyang bagaimanapun mempertahankan rundingan dengan Seoul tidak akan menyentuh isu program nuklearnya.

Sehubungan itu Allen mendesak supaya Majlis Keselamatan membuat keputusan segera bagi menghukum Pyongyang berhubung program nuklearnya.