Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu dipercayai jenis balistik ke dalam laut antara Semenanjung Korea dan Jepun, lapor Reuters pada Khamis.

Perkara itu dimaklumkan pengawal pantai Jepun dan tentera Korea Selatan dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ketua Turus Kakitangan Tentera Korea Selatan (JCS), dua 'peluru berpandu tidak dikenal pasti’ itu dilancarkan pada jam 4:35 dan 4:38 petang, dari wilayah Selatan Phyongan di tengah negara itu.

Peluru berpandu tersebut meluncur sejauh 370 kilometer dan mencapai altitud 90 kilometer, yang disifatkan JCS sebagai 'jarak dekat'.

Pihak berkuasa Jepun berkata, peluru berpandu berkenaan telah jatuh di kawasan luar Zon Ekonomi Ekslusif Jepun (EEZ), sejauh 200 batu nautika (370 kilometer) dari darat.

“Objek yang dipercayai peluru berpandu balistik dilancarkan dari Korea Utara.

"Ia tidak mendarat di wilayah kami,” kata Kementerian Pertahanan Jepun.