Beijing menyaksikan penurunan bilangan penumpang yang kembali ke kota selepas cuti Tahun Baru Cina, susulan wabak koronavirus yang masih berterusan.

Di stesen keretapi Beijing Selatan, dianggarkan hanya 40,000 penumpang yang tiba setiap hari, penurunan kira-kira 70 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Cuti Tahun Baru Cina yang dipanjangkan dari 31 Januari hingga 10 Februari turut menjadi punca apabila bilangan perjalanan kereta api juga berkurangan.

Bagi yang memilih untuk pulang, mereka mempunyai alasan tersendiri.

"Saya akan menjalani kuarantin selama tujuh hari, jadi tidak perlu risau," kata seorang penumpang seperti yang dipetik portal CGTN, hari ini.

Seorang lagi penumpang memberitahu, dia terpaksa pulang kerana dipanggil untuk melaporkan diri di tempat kerja.

Pengurusan perkhidmatan keretapi dilihat telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penyebaran koronavirus.

Di pintu masuk, pemeriksaan suhu badan dijalankan dan kakitangan melakukan kerja-kerja pembersihan dengan kerap.

Kawasan kuarantin juga disediakan untuk sebarang kecemasan.

LAPOR LANGSUNG: Koronavirus kini ragut lebih 300 nyawa

BACA: Koronavirus: China tutup bandar Wenzhou

"Kami memastikan akan membuat pembersihan sekerap mungkin, memberikan topeng mulut, sarung tangan, bahan pencuci tangan (hand sanitiser) dan mengambil suhu badan mereka," kata Chen Huimin, pengarah pengangkutan penumpang di stesen itu.

BACA: Koronavirus: Remaja OKU meninggal dunia ketika bapa dan adik dikuarantin

Setakat jam 8 pagi Ahad, menurut laporan South China Morning Post, jumlah kes positif jangkitan koronavirus baru 2019-nCoV ialah 17,205 kes dengan 361 kematian.