Datuk Bandar New York City, Michael Bloomberg menandatangani undang-undang melarang jualan rokok kepada mereka yang berumur di bawah 21 tahun pada Selasa dalam langkah bandar raya itu memerangi tabiat merokok.

Undang-undang yang meliputi tembakau gulung dan rokok elektronik akan berkuatkuasa dalam masa enam bulan, kata jurucakap Bloomberg.

Mulai Mei 2014, sesiapa yang mahu membeli rokok di bandar raya itu dikehendaki menunjukkan tanda pengenalan diri membuktikan mereka berumur lebih 21 tahun.

New York City adalah kota besar pertama di Amerika Syarikat yang menaikkan had umur jual beli rokok kepada 21 tahun.

Menurut Bloomberg, undang-undang itu yang diluluskan oleh ahli majlis bandar raya tersebut pada 30 Oktober lepas "akan menyekat remaja daripada berjinak-jinak dengan tembakau yang akan menyebabkan mereka ketagih."

Undang-undang baru itu mengukuhkan peraturan ketat sedia ada berhubung merokok yang kini dilarang di bar, restoran, taman, tempat awam dan pantai.

Had umur untuk membeli rokok di seluruh New York bagaimanapun kekal 18 tahun.

Cukai rokok di New York City juga merupakan yang tertinggi di Amerika Syarikat iaitu sebanyak AS$5.85 (RM18.60) yang menjadikan harga sekotak rokok lebih kurang AS$12 (RM38).

Bloomberg juga menandatangani satu undang-undang lain pada Selasa yaang menghadkan diskaun ke atas rokok menjadi harga minimumnya AS$10.50 (RM33).

Langkah tegas New York City ini menyaksikan penurunan jumlah perokok dewasa daripada 21.5 peratus pada 2002 kepada 14.8 peratus pada 2011. Bagaimanapun kadar perokok remaja kekal lebih kurang 8.5 peratus sejak 2007 dan keadaan itu mendesak kepada pengenalan undang-undang baru tersebut.

Pihak berkuasa berharap peraturan tersebut akan mengurangkan sehingga kepada 55 peratus perokok yang berumur antara 18 hingga 20 tahun.

Kebanyakan bandar dan wilayah di Amerika Syarikat menetapkan had umur pembeli rokok pada 18 tahun walaupun sesetengah negeri telah menaikkannya kepada 19 tahun.

Sebuah bandar kecil di pinggir Boston sebelum menaikkan had umur itu kepada 21 tahun pada 2005.