Malaysia bersedia membantu menyelesaikan krisis antara Qatar dengan negara-negara Arab.

Namun, Menteri dengan Tugas-tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata Malaysia komited menyokong peranan Kuwait selaku pihak perantara dalam menyelesaikan krisis berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, terdapat juga pihak lain seperti Turki dan Amerika Syarikat (AS) yang sudah ambil inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian ke arah menyatupadukan kembali negara terbabit.

"Isu di Qatar bukan satu krisis yang mudah dan cukup kompleks. Tetapi hubungan kita dengan negara-negara berkenaan, penghormatan dan kepercayaan yang diberikan oleh kepemimpinan mereka terhadap kita mengizinkan Malaysia memainkan sedikit sebanyak peranan sekiranya diperlukan.

"Tetapi setakat hari ini kita patut memberi peluang kepada Kuwait untuk memainkan peranannya dalam meredakan ketegangan antara Qatar dan negara teluk berkenaan dan pada masa sama, itulah juga pendirian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai peranan Kuwait.

"Ini masih lagi berjalan, kita pantau secara dekat. Jika diperlukan, hubungan yang telah kita wujudkan dengan negara berkenaan, boleh membantu dan meletakkan Malaysia dalam satu posisi yang bukan saja strategik, tetapi boleh memain peranan yang lebih mendalam," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang ingin mengetahui sama ada Malaysia mahu menjadi orang tengah menyelesaikan krisis di rantau berkenaan.

Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, krisis antara Qatar dan negara jiran seperti Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriyah Arab Bersatu yang melanda sejak 5 Jun lalu tidak menggugat hubungan diplomatik yang terjalin antara negara berkenaan dengan Malaysia.

Kerajaan sentiasa memandang serius terhadap apa-apa konflik yang berlaku di antara negara yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Malaysia.