Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil satu tindakan 'lebih kukuh dan pantas' untuk menamatkan keganasan terhadap masyarakat etnik Rohingya di Myanmar yang kini ditindas.

Naib Presidennya, Mike Pence dalam mesyuarat Majlis Keselamatan pada Rabu turut mengisytiharkan krisis tersebut sebagai ancaman kepada dunia.

Pence berkata tentera Myanmar bertindak balas terhadap serangan militan di bangunan-bangunan kerajaan dengan satu tindak balas kekejaman yang dahsyat, membakar kampung dan menghalau etnik Rohingya dari kediaman mereka.

Beliau sekali lagi menggesa tentera Myanmar agar menamatkan keganasan dan menyokong usaha diplomatik untuk penyelesaian jangka panjang isu Rohingya.

"Presiden Trump dan saya juga menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan yang tegas dan cepat untuk menamatkan krisis ini dan membantu rakyat Rohingya ketika dalam kesusahan," kata Pence kepada 15 anggota Majlis Keselamatan.

Majlis Keselamatan telah bertemu dua kali secara tertutup sejak krisis bermula pada 25 Ogos lalu dan mengeluarkan kenyataan tidak rasmi kepada akhbar minggu lepas yang mengutuk tindakan tentera Myanmar dan mendesak pihak berkuasa Myanmar untuk menamatkan keganasan.

"Sekiranya keganasan ini tidak berhenti atas tuntutan keadilan, ia akan menjadi semakin buruk, dan ia akan melahirkan sifat kebencian dan kekacauan yang boleh memusnahkan rantau ini untuk generasi akan datang dan mengancam keamanan kita semua," kata Pence lagi.

Ini adalah reaksi kerajaan Amerika yang paling tegas berkaitan keganasan di negeri Rakhine Myanmar yang bermula pada 25 Ogos selain dari memaksa lebih 422,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Keganasan bermula apabila pemberontak Rohingya didakwa menyerang kira-kira 30 anggota polis dan tentera, selain membunuh kira-kira 12 anggota keselamatan Myanmar.